Saturday, December 02, 2006

UTUSAN-NSTP TIDAK PATUT BERGABUNG



Kumpulan akhbar milik Umno, Utusan Melayu (M) Bhd (Utusan) dan Kumpulan New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) sedang mengadakan rundingan untuk bergabung.
Penerbit akhbar harian Utusan Malaysia itu akan bergabung dengan kumpulan NST yang menerbitkan akhbar New Straits Times dan Berita Harian.Kemungkinan berlaku perubahan dasar yang akan mempengaruhi akhbar Utusan Malaysia berikutan penggabungan itu.
Rakyat lebih suka melihat identiti surat khabar yang berkenaan dikekalkan kerana masing-masing ada identitinya, ada sejarahnya, dan ada imejnya masing-masing.
Walaupun penggabungan itu akan membawa perubahan kepada kekuatan kewangan syarikat yang berkenaan, ia tidak harus menjadi faktor untuk mengetepikan kemegahan dan kemasyhuran akhbar yang telah lama wujud itu. Suratkhabar ini kemegahan dia, kemasyhuran dia, bergantung kepada lama mana dia dapat hidup. Berapa lama dia boleh hidup dan tentunya Utusan telah berjaya wujud sejak bertahun lamanya.
Kesatuan pula kecewa kerana pengurusan kedua-dua syarikat itu tidak memberikan taklimat kepada pekerja mereka dan kesatuan itu mengenai perkembangan itu yang akan menjejaskan kehidupan dan masa depan mereka.
Semua tindakan korporat patut dilakukan secara telus dengan penekanan diberikan kepada hak dan faedah pekerja. Penggabungan syarikat-syarikat media pada masa ini di bawah beberapa pihak merupakan trend membimbangkan di Malaysia, kerana ia akan menjadi ancaman kepada kebebasan akhbar dan objektifnya.
Desas desus mengenai cadangan penggabungan antara Utusan Melayu (M) Bhd dan konglomerat media Kumpulan Media Prima Berhad telah tersebar sejak awal minggu ini tetapi tiada pengesahan mengenai perkara itu.Bagaimanapun, Utusan Melayu hari ini mengumumkan bahawa Bursa Malaysia Securities Bhd telah meluluskan permohonannya bagi penangguhan sahamnya daripada didagangkan sementara menunggu pengumuman transaksinya pada 4 Dis.
Adalah diharap sebelum sebarang keputusan dibuat berhubung sebarang bentuk perubahan dalam pemilikan, tindakan atau sebarang perubahan pada dasar syarikat perlu dirujuk kepada kesatuan dan keputusan patut dibuat secara konsensus.
Sementara itu, sebuah firma perhubungan awam, WestCoast Communications, hari ini mengeluarkan makluman media bagi pihak NSTP dan Utusan Melayu menjemput media ke sidang akhbar dijadualkan pada 4.45 petang, 4 Dis di Royale Bintang Damansara.Menurut makluman itu, pegawai-pegawai kanan syarikat dari NSTP dan Utusan akan hadir pada sidang akhbar itu.
Cabaran jangka panjang terbesar ialah menjamin agar syarikat gergasi ini tidak rebah kerana berat bandannya sendiri. Kebimbangan ini tidak boleh ditolak bulat-bulat kerana tidak semua penggabungan mega di dunia berjaya menghasilkan syarikat yang berdaya maju.
Dalam masa terdekat sebarang tindakan yang membawa kepada pembuangan pekerja, penjualan atau penswastaan aset dan pelantikan ahli lembaga atau pengurusan kanan dari kalangan orang tertentu akan menyebabkan motifnya dicurigai.
Perkara-perkara ini wajib dipastikan tidak terjadi kerana di akhir-akhir berlaku urus niaga yang menimbulkan syak wasangka dan kontroversial yang membabitkan watak-watak yang dikaitkan dengan kerajaan.

No comments: