Saturday, December 16, 2006

PAK AZIZ SELAMAT DIIJABKABUL





Aziz Sattar - Hashimah selamat diijabkabul
16-12-2006 04:56:45 PM
SHAH ALAM: Pelakon veteran Aziz Sattar, 81, selamat diijabkabulkan dengan pasangan pilihannya, Hashimah Delan, 48, di Masjid Negeri Shah Alam, pagi tadi.
Dengan hanya sekali lafaz, Aziz Sattar atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Aziz sah menjadi suami kepada Hashimah, yang mula dikenalinya kira-kira setahun lalu.
Hashimah berwalikan adiknya, Mohd Shukri Delan dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah Khairuddin Haiyon sambil disaksikan oleh adinda Sultan Selangor Tengku Panglima Tengku Sulaiman Ibni Almarhum Sultan Sallahuddin Abdul Aziz Shah dan pelakon Datuk Ismail Hudson.
Hashimah menerima mas kahwin sebanyak RM100 serta wang hantaran, RM 5,000. Pak Aziz juga turut menghadiahkan lima dulang hantaran berbalas tujuh daripada pihak perempuan.
Majlis berlangsung sekitar jam 11 pagi itu diadakan secara sederhana tetapi meriah dengan kunjungan lebih 1,000 orang tetamu, terdiri daripada ahli-ahli keluarga, sanak-saudara serta rakan-rakan artis.

Antara tetamu yang hadir terdiri daripada penggiat-penggiat seni tanahair seperti Datuk Jamil Sulong, Datuk Sarimah Ahmad, Ahmad Jais dan Yusni Jaafar.
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klang Datuk Zakaria Md Deros juga turut hadir memeriahkan majlis pernikahan itu. Manakala pelakon Betty Banafe dan Radhi Khalid menjadi pengapit pasangan pengantin dan majlis tersebut telah dikendalikan oleh penyanyi Nash.
Pada sidang media yang diadakan selepas itu, Pak Aziz dan Hashimah melahirkan rasa bersyukur kerana majlis pernikahan mereka selamat dijalankan tanpa sebarang masalah.
"Memang saya agak gementar sebenarnya hari ini. Maklumlah, sudah lama hidup menduda. Malam tadi pun susah nak tidur.
"Nasib baik ada ahli keluarga dan rakan-rakan yang hadir hari ini cuba kuatkan semangat saya," ujar Pak Aziz ceria.
Katanya lagi, dia amat gembira kerana ahli keluarga kedua-dua belah pihak menyambut baik keputusan mereka untuk berkahwin malah mendapat sokongan penuh daripada rakan-rakan artis juga.
Bagi Hashimah pula, dia sememangnya tidak menjangka akan bertemu jodoh dengan bintang filem itu setelah berkenalan dengan Pak Aziz pada satu majlis di Kuala Lumpur kira-kira setahun yang lalu.
"Saya sudah lama meminati dia, selalu tengok filem lakonan dia. Saya suka dengan karektor dia yang kelakar. Memang tujuan saya pergi ke majlis itu pun semata-mata untuk berjumpa dengan dia, setakat bergambar dan lihat dia dari dekat.
"Tapi sudah jodoh kami, saya sendiri pun tidak sangka akan berkahwin dengan dia. Dia juga ada ingatkan saya mengenai dunia hiburan ini dan minta agar saya memahami kerjayanya," kata Hashimah yang bekerja sebagai pengasuh kanak-kanak.
Hashimah sebelum ini juga pernah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak.
Buat masa ini, pasangan tersebut masih belum merancang untuk berbulan madu, namun menurut Pak Azizi, jika keadaan mengizinkan, dia dan isteri berkemungkinan akan berbulan madu di Langkawi.
Majlis persandingan pasangan pengantin itu akan diadakan malam ini di Restoran Puteri, Sungai Penchala, Kuala Lumpur yang diuruskan sepenuhnya oleh Persatuan Karyawan.
Zaini Sattar (adik):
"Saya gembira abang saya bertemu jodoh lagi. Kami semua (ahli keluarga) datang dari Singapura semalam dengan tiga buah bas untuk bagi sokongan pada dia."
Ruzaidah Aziz (anak kedua Aziz):
"Sebelum saya berjumpa aunty (Hashimah) lagi, memang ayah sudah ceritakan tentang dia pada saya. Alhamdulillah, mereka memang ada jodoh. Kami semua adik-beradik memang setuju dengan keputusan ayah untuk berkahwin lagi."
Dian Fadilah Zainal Ariff (anak kedua Hashimah):
"Kami gembira dengan pilihan ibu. Sewaktu mereka bercinta dulu pun, saya yang selalu hantar ibu keluar dating. Selepas raya, mereka rancang untuk berkahwin, kami adik-beradik semua turut gembira."
Datuk Sarimah Ahmad (rakan artis):
"Ini satu anugerah Allah untuk Aziz supaya ada orang yang akan menjaganya sampai hari-hari terakhirnya nanti. Sebagai rakan, saya cuma harap hubungan mereka kekal hingga ke akhir hayat."

1 comment:

Anonymous said...

kepada blog owner,
tahniah blog anda penuh dengan maklumat dan kadang-kadang ada juga humor.

kepada pak aziz sattar THE LIVING LEGEND..SEMOGA BERBAHAGIA...