Lebih seribu orang serbu majlis resepsi Aziz Sattar
18-12-2006 01:22:37 PM
Sabtu lepas, kira-kira jam 11.15 pagi termeterailah ikatan perkahwinan di antara pelakon veteran Aziz Sattar, 81 dan peminat nombor satunya, Hashiman Delan, 48, di Masjid Negeri Shah Alam, setelah lebih setahun berkenalan.
Dengan disaksikan oleh kira-kira 1,000 tetamu yang hadir, Aziz Sattar atau dikenali dengan panggilan Pak Aziz akhirnya menamatkan zaman dudanya dengan pilihan hatinya itu setelah hubungan mereka turut mendapat sokongan yang tidak berbelah bagi daripada ahli keluarga.
Selepas selamat diakad nikah, Pak Aziz dan isteri diraikan pula pada majlis persandingan yang diuruskan oleh Persatuan Karywan di sebelah malamnya di dalam suasana yang cukup meriah.
Hujan yang turun sebelum majlis bermula tidak menghalang kira-kira 1,000 tetamu yang rata-ratanya terdiri daripada ahli keluarga, orang kenamaan dan rakan-rakan artis untuk hadir meraikan pasangan pengantin itu di Restoran Puteri, Taman Tun Dr Ismail milik pelakon Rubiah Suparman dan Habsah Hassan.
Pak Aziz dan isteri tiba kira-kira jam 8.30 malam dengan kereta Rolls Royce, kepunyaan Pengerusi Eksekutif Saloma Bistro Datuk Syed Yusof Tun Syed Nasir (Jojo) sambil disambut dengan paluan kompang.
Senyuman ceria terukir di wajah pengantin yang mengenakan pakaian songket sedondon berwarna hijau epal, tajaan Hajah Ruhani Abdul Rahman dan disandingkan di atas pelamin indah yang disediakan oleh Kamal Aziz dan Sham dari Seri Andaman Mahligai Kencana.
Selepas acara dimulakan dengan bacaan doa oleh Datuk Hassan Azhari, upacara merenjis mempelai menyusul dengan didahului oleh Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.
Pasangan pengantin dan tetamu turut dihiburkan dengan persembahan daripada artis-artis tanahair seperti Maya, Fazlina Datuk Ahmad Daud, Nas Adila, Nora AF4, Jaafar Onn, Rohana Jalil, Julie Sudiro, Datuk M. Daud Kilau dan Diddy AF4, sebelum majlis berakhir dengan upacara memotong pulut kuning kira-kira jam 11 malam.
Sepanjang berlangsungnya majlis itu, pasangan pengantin tidak henti-henti diusik oleh dua pengacaranya, Ogy Ahmad Daud dan Salleh Yaakob sehingga membuatkan semua yang hadir tidak kering gusi.
Namun, Pak Aziz dengan sikap 'sporting'nya hanya tersenyum dengan kata-kata usikan pengacara sensasi itu. Turut mengacarakan majlis itu ialah Chuari Selamat yang terkenal dengan kepetahannya berpantun.
Rakan-rakan artis yang turut hadir ialah antaranya pelakon Aziz Singah, Datuk Maria Menando, Jalaluddin Hassan, Kairel Khamis, Azizul Khamis, Amyza Aznan, Imuda, Jaafar Onn dan Noniswara.
Majlis persandingan itu sememangnya juga turut mencatat sejarah tersendiri mendapat paling banyak tajaan itu daripada pelbagai pihak.
Kad undangan perkahwinan Pak Aziz ditaja oleh Betty Banafe, manakala Tim's Catering pula telah menaja pulut kuning dan hidangan pengantin. Jambangan bunga disediakan oleh Wahid Nasir dari Heart to Heart manakala pakaian 'flower girls' adalah tajaan Syanie Hisham.
Jalaluddin Hassan turut menyediakan satu hidangan istimewa khas 'kebab' untuk tetamu yang hadir pada malam itu.
Selain itu, beberapa barangan lain juga turut ditaja oleh orang perseorangan, ahli kenamaan dan beberapa persatuan untuk majlis tersebut seperti bunga telur, telur pindang, dodol, bahulu, wajik dan beg cenderahati.
Antara yang memberikan sumbangan ialah penerbit filem Hajjah Ruhani Abdul Rahman, Habsah Hassan, Rubiah Suparman, Syanie Hisham, Jalaluddin Hassan, Rosyam Nor, Ziela Jalil, Deja Moss, Rahimah Rahim, Noniswara, Nash Lefthanded, Helmi Gimmick, Zaibo, Imuda, Salwa Abdul Rahman dan Yusni Jaafar.
Datuk Syed Yusof Tun Syed Nasir juga telah membiayai sebahagian dari kos penginapan rombongan keluarga Pak Aziz di Hotel Concorde Kuala Lumpur dan juga pakej berbulan madu ke Langkawi.
Penerbit Metrowealth Movies Productions (MMP) David Teo juga bermurah hati menaja cenderahati iaitu kalendar eksklusif Aziz Sattar, manakala beberapa badan korporat lain telah menaja minuman herbal Unicorn, pentas dan sistem bunyi beserta enam skrin besar.
Dalam pada itu, Pak Aziz melahirkan rasa terharunya apabila majlis perkahwinannya itu mendapat sokongan dan bantuan yang tidak terhingga daripada Karyawan dan pihak-pihak terbabit.
"Saya rasa syukur dan memohon agar perkahwinan kali ini kekal sehingga ke akhir hayat. Hanya Tuhan saja yang mampu membalas jasa anda. Saya dan anak-anak hanya dapat berdoa agar semua diberkati Tuhan," ujar Pak Aziz.
No comments:
Post a Comment