Friday, December 08, 2006

PENGGABUNGAN DAN PEMBACA AKHBAR MEROSOT


DALAM dunia korporat tidak apa yang mustahil atau luar biasa, khasnya mengenai kegiatan penggabungan dan pengambilan alih (merger and acquisition -- M&A).
Segala bentuk urus niaga adalah “halal” asalkan ada pihak yang membuat keuntungan atau percaya bahawa keuntungan boleh dibuat. Sama ada keuntungan benar-benar dibuat atau tidak, itu perkara yang berasingan.
Malah M&A yang sebenar tidak pun perlu berlaku sebelum seseorang atau sesuatu pihak boleh membuat keuntungan. Ambil ura-ura penggabungan New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) dengan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad sebagai contoh.
Sebelum ura-ura penggabungan, saham NSTP diniagakan di Bursa Malaysia sekitar RM2 seunit. Malah ia pernah jatuh di bawah paras itu. Manakala saham Utusan pula berlegar di sekitar RM1. Sebaik sahaja berita penggabungan itu bersebar, harga saham NSTP naik hampir RM3 dan Utusan hampir RM2.
Sesiapa sahaja yang membeli saham dua syarikat akhbar itu sebelum ura-ura penggabungan dan menjualkan sekarang akan membuat keuntungan yang lumayan sama ada penggabungan berlaku atau tidak.
Bertitik tolak daripada hakikat itu, urusan pengambilan alih dan penggabungan yang membabitkan NSTP dan Utusan Melayu masih berkemungkinan berlaku walaupun buat waktu ini terpaksa ditangguhkan kerana bantahan oleh majoriti ahli Majlis Tertinggi Umno.
Umno adalah pemegang saham utama dan terbesar Utusan Melayu dan ahli MT dikatakan bimbang penggabungan itu akan menjejaskan kepentingan Umno dan kedudukan Utusan Malaysia sebagai akhbar berbahasa Melayu utama di negara ini.
Dari sudut politik, pendirian MT itu bercanggah dengan pandangan Presidennya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Presiden Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak yang menyokong cadangan itu.
Menurut sebuah laporan Bernama, kebimbangan mengenai identiti dan kebebasan jabatan pengarang Utusan Melayu mungkin dapat diatasi di bawah struktur baru yang sedang diusahakan.Di bawah struktur terbaru itu, pengarah eksekutif Utusan Melayu, Nasir Ali, mungkin dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif kumpulan bagi entiti baru yang akan mengambil alih NSTP dan Utusan Melayu.
Memetik sumber-sumber yang arif mengenai urusan penggabungan dan pengambilan alih korporat, Bernama berkata di bawah rangka kerja itu, sebuah syarikat baru (newco) akan mengambil operasi NSTP dan Utusan Melayu. Pemegang saham Utusan Melayu (iaitu Umno) akan menjadi pemegang saham utama dalam syarikat baru itu.Di bawah rangka kerja asal (yang ditolak oleh MT), Media Prima Bhd iaitu syarikat induk NSTP akan menjadi syarikat induk kepada entiti yang digabungkan itu. Media Prima adalah juga pemilik TV3, NTV7, Channel 8 dan Channel 9.
Jika struktur baru ini diterima oleh pemenang saham syarikat-syarikat yang terbabit dan diluluskan oleh badan-badan kawalan seperti Suruhanjaya Sekuriti, Utusan Melayu akan melakukan pengambilan alih songsang (reversed takeover) terhadap NSTP yang lebih besar daripadanya.
Apa pun bentuk atau struktur M&A yang akhirnya dilaksanakan, faktor, ciri dan pertimbangan berikut pasti telah dan sedang difikirkan oleh pihak-pihak yang terbabit, khasnya pemegang saham dan pengurusan syarikat-syarikat yang terbabit:-
1. Siapakah akhirnya menjadi pemegang saham utama (controlling shareholder) syarikat baru ini?
Buat masa ini, pemegang saham utama Utusan Melayu adalah Umno. Umno dan pihak-pihak yang bersekutu dengannya dianggarkan memegang kira-kira 50 peratus saham Utusan Melayu Berhad.
NSTP pula dikuasai oleh Media Prima Berhad yang pemilik mutakhirnya adalah Realmild Sendirian Berhad. Umno tidak diketahui mempunyai pegangan saham di dalam Realmild.
Sejak diasaskan pada awal tahun 1990-an sebagai jentera (vehicle) pembelian oleh pengurusan (management buy-out -- MBO) yang membabitkan empat eksekutif kanan NSTP, Realmild “dikaitkan” dengan Presiden Umno.
[Pengambilan alih itu membabitkan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), NSTP dan Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3). Pasukan MBO itu mula mengundurkan diri pada akhir tahun 1998 dan kesemua mereka telah keluar dari Realmild menjelang tahun 2000.]
2. Manakala penggabungan itu mungkin tidak akan menjejaskan struktur dan “kebebasan” jabatan pengarang NSTP dan Utusan Melayu Berhad, namun persepsi pembaca dan pengiklan mungkin berubah.
Mereka mungkin menolak atau menyusun semula keutamaan mereka apabila menimbangkan perbelanjaan mereka di dua kumpulan akhbar ini.
Kita telah melihat bagaimana pembaca Cina memprotes dengan “menolak” akhbar Nanyang Siang Pau apabila pemilikannya diambil alih oleh MCA melalui syarikat pelaburannya Huaren Holdings Sdn Berhad pada tahun 2001.
Mengakui bahawa pemilikannya membebankan Nanyang dan menyebabkan perpecahan di dalam parti, MCA baru-baru ini mengambil keputusan menjual saham Nanyang Press Holdings Berhad yang dimilikinya kepada syarikat milik pengusaha balak Sarawak Tan Sri Tiong Hiew King.
Masyarakat Cina yang dulunya memprotes pengambilan alih Nanyang Press oleh MCA dengan menolak akhbar Nanyang kini memprotes pembelian oleh oleh Tiong kerana dia sudah pun mengawal akhbar terbesar di negara ini iaitu Sin Chew Daily.
Orang Cina khuatir pemusatan pemilikan akhbar berbahasa Cina di dalam tangan seorang individu akan memberi kesan negatif kepada masa depan media massa berbahasa Cina, khasnya keupayaan memperjuangkan kepentingan kaum Cina di Malaysia.
Masyarakat Cina Malaysia sentiasa menganggap kepelbagaian suara sebagai cara terbaik mempertahankan kepentingan mereka. Serentak itu, akhbar-akhbar Cina adalah yang paling “bebas” dan sensasi di negara ini.
[Huaren juga adalah pemegang saham terbesar Star Publications Berhad, penerbit akhbar berbahasa Inggeris terbesar The Star manakala Nanyang Press turut menerbitkan akhbar China Press.]
3. Bagi pelabur, sesuatu penggabungan tidak dianggap menarik jika tidak menjanjikan penyusunan semula dan rasionalisasi perniagaan yang membabitkan produk, guna tenaga dan yang penting sekali penjimatan kos. Bagi pelabur yang mutakhir adalah keuntungan bukan kebajikan.
Seperti kita maklum NSTP dan Utusan Melayu menerbitkan akhbar-akhbar berbahasa Melayu yang hampir-hampir serupa dan bersaing antara satu sama lain.
Utusan Melayu menerbitkan Utusan Malaysia yang bersaing terus dengan Berita Harian terbitan NSTP. NSTP menerbitkan akhbar tabloid berbahasa Melayu Harian Metro dan Utusan Melayu melancarkan tabloid Kosmo untuk melawannya.
Jadi apakah bentuk penyusunan semula korporat dan rasionalisasi perniagaan yang boleh dilakukan oleh Nasir Ali dan pasukannya tanpa menjelaskan kedudukan akhbar-akhbar ini dan kakitangan mereka yang melebihi 3,000 orang?
4. Tidak kurang pentingnya ialah “timing” penggabungan ini. Apakah ini masa yang unggul untuk melakukannya?
Industri penerbitan kini mengalami tekanan kepada kedua-dua sumber utama pendapatannya iaitu iklan dan penjualan akhbar dan majalah. Walaupun perangkaan kasar menunjukkan perbelanjaan iklan (adex) terus meningkat, tetapi hasil sebenar (yield) adalah rendah kerana penerbit memberikan diskaun yang tinggi kepada pengiklan.
Mungkin inilah aspek perniagaan yang hendak dirasionalisasikan oleh pihak-pihak yang mencadangkan penggabungan ini. Mereka mahu memberhentikan persaingan yang merugikan.
Tetapi yang lebih mencabar dan sukar diatasi adalah penjualan dan pembacaan akhbar yang semakin menurun, khasnya akhbar-akhbar Melayu, akibat persaingan daripada televisyen dan radio dan keadaan ekonomi pengguna yang tidak merangsangkan.

Perangkaan terbaru pembaca (Oktober 2005-September 2006) yang dikeluarkan oleh firma pemantauan media massa Nielsen Media Research, menunjukkan jumlah pembaca Utusan Malaysia merosot 13 peratus kepada 1.2 juta dan Berita Harian 21 peratus kepada 1.15 juta. Tabloid sensasi Harian Metro meningkat 24 peratus kepada 1.8 juta.
Bagi akhbar-akhbar berbahasa Inggeris pula, pembaca The Star bertambah sembilan peratus kepada 1.14 juta dan New Straits Times 0.3 peratus kepada 319,000 manakala The Sun jatuh 12 peratus kepada 171,000 dan The Malay Mail yang dilancarkan semula merosot 36 peratus kepada 78,000.
Biro Audit Pengedaran (Audit Bureau of Circulation) dijangka mengumumkan perangkaan terbaru penjualan akhbar dan majalah yang mempamerkan trend yang serupa.
Dari sudut kepenggunaan, akhbar dan majalah tidak disenaraikan sebagai barangan perlu. Antara sekotak rokok dengan senaskhah akhbar, pengguna memilih rokok daripada akhbar.
Setiap kali harga rokok naik kerana kenaikan cukai, penjualan akhbar, khasnya akhbar Melayu, jatuh kerana pengguna mengutamakan menghisap rokok daripada membaca akhbar. Lagipun orang jarang berkongsi rokok tetapi mereka berkongsi akhbar.
Kebimbangannya ialah pembeli dan pembaca yang kini membeli dan membaca Utusan Malaysia dan Berita Harian mungkin menggugurkan salah satu daripada akhbar itu kerana kedua-duanya diterbitkan oleh pemilik yang sama. Begitu juga dengan yang kini membeli Harian Metro dan Kosmo.
Walaupun pembelian dan pembacaan bertindih ini tidak besar, namun dalam suasana sekarang kedua-dua buah syarikat itu memerlukan setiap sen pendapatan yang boleh mereka peroleh.
Yang lebih mengancam ialah pembaca mungkin menolak akhbar-akhbar terbitan syarikat yang digabungkan itu dan berpindah kepada akhbar-akhbar bebas atau kepada laman berita Internet dan blog.
Kemungkinan ini tidak boleh diketepikan kerana yang akan membuat penilaian kritikal ke atas implikasi penggabungan ini adalah mereka yang membaca lebih daripada sebuah akhbar dan mempunyai akses kepada media baru seperti laman berita Internet dan blog.
Kesimpulannya, penggabungan mega ini mungkin berlaku dalam masa terdekat, Majlis Tertinggi Umno boleh “dipujuk” untuk mengubah fikiran atau bantahannya dipatahkan dengan mengemukakan cadangan baru, ada pihak akan membuat keuntungan modal yang lumayan, penyusunan semula struktur korporat dan rasionalisasi operasi mungkin menjelaskan produk dan guna tenaga, persaingan yang merugikan mungkin boleh dihadkan dan sentimen pengguna akan menentukan untung rugi penggabungan ini.
Akhir sekali (dan mungkin yang terpenting) ialah hakikat bahawa sesiapa juga yang muncul sebagai “pemilik mutakhir” (ultimate owner) syarikat baru ini akan menjadi maharaja (emperor) dunia media massa Malaysia. Kuasa politik dan korporatnya “menakutkan”.
http://akadirjasin.blogspot.com

No comments: